Friday, April 2, 2010

3. Kenapa kitar semula?

SETIAP HARI KITA MENGHASILKAN 15,000 TAN SAMPAH, TETAPI KITA SEMAKIN KESEMPITAN RUANG UNTUK MENAMPUNGNYA.
Kita biasanya tidak memirkirkan di manakah sampah sarap kita dibuang atau apakah yang terjadi kepadanya sebaik sahaja ia dipungut. Hakikatnya lori sampah tidak dapat menghapuskannya begitu sahaja. Ia biasanya akan diangkut ke tapak pelupusan sampah.
Kapasiti tapak pelupusan sampah kita semakin terhad. Di masa yang sama kita terpaksa menghabiskan jutaan ringgit untuk mengangkut dan melupuskan sampah. Lebih membimbangkan lagi, kini timbul rungutan tentang pencemaran, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan isu isu keselamatan yang berkaitan.
Sudah tiba masanya kita menangani masalah ini sebelum terlewat. Fikir dulu sebelum buang. Jadikan amalan mengitar semula sebagai sebahagian hidup kita.

APA ITU KITAR SEMULA?
Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah.


KENAPA KITAR SEMULA?
Kitar semula untuk memelihara ruang hidup kita. Pada masa ini terdapat kira-kira 230 tapak pelupusan sampah di Malaysia. Setiap satunya berkeluasan antara 20 hingga 150 ekar, bergantung pada lokasi dan jumlah sampah ynag dibuang. Sebaik sahaja sebuah tapak pelupusan sampah dipenuhi sampah, tapak baru akan dibuka. Lambat laun, tapak-tapak ini akan berkembang dan menular mencerobohi ruang hidup kita.
- Kitar semula untuk persekitaran yang lebih sihat dan lebih bersih
Sampah boleh menjejaskan kesihatan dan keselamatan. Jika dibiarkan bersepah, ia akan menjadi tumpuan haiwan pembawa penyakit seperti tikus dan gagak. Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan sampah yang dibuang dan seterusnya mengawal penyakit daripada merebak.
- Kitar semula untuk mengurangkan pencemaran
Longgokan bahan buangan di dalam tong sampah, lori atau tapak pelupusan sampah merupakan salah satu punca pencemaran dalam iklim tropika. Amalan mengitar semula dapat mengurangkan ancaman alam sekitar seperti pencemaran air bawah tanah dan udara.
- Kitar semula untuk menjimatkan kos
Dalam jangka panjang, mengitar semula adalah lebih menjimatkan berbanding dengan usaha menyelenggara tapak pelupusan sampah atau sistem yang lain. Apabila program kitar semula bertambah cekap, sampah yang perlu dilupus akan semakin berkurangan. Ini seterusnya akan memanfaatkan anda kerana caj untuk pelupusan sampah akan dikurangkan.
- Kitar semula untuk menjimatkan sumber kita
Ramai yang tidak sedar bahawa kita sebenarnya membuang sumber yang amat bernilai. Tahukah anda Malaysia mengimport lebih daripada 25,000 tan kertas buangan setiap bulan untuk menghasilkan produk kertas bagi menampung permintaan tempatan? Kita juga mengimport bahan baungan lain untuk industri pengeluaran yang lain.
- Kitar semula untuk menjimatkan tenaga
Tenaga yang dapat dijimatkan untuk mengitar semula satu tin aluminium adalah bersamaan dengan tenaga yang digunakan untuk memasang TV selama 3 jam. Mengitar semula kaca menurunkan suhu lebur untuk kaca baru sambil menjimatkan sehingga 32% tenaga yang diperlukan untuk pengeluaran kaca.
- Kitar semula untuk menyelamatkan hutan
Untuk menghasilkan satu tan kertas, sebanyak 17 pohon pokok terpaksa ditebang. Mengitar semula kertas akan mengurangkan bilangan pokok yang perlu ditebang. Kita perlu memelihara hutan kerana ia merupakan paru-paru yang memberi kita oksigen dan udara bersih.


0 comments:

Post a Comment